APA ITU 7 LAYER OF OSI MODEL ATAU 7 LAPISAN MODEL OSI?
Model OSI atau Open Systems Interconnection adalah satu model yang dicipta oleh International Organization for Standardization. Ia membolehkan pelbagai sistem komputer dapat berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan protokol yang diseragamkan.
Model OSI juga boleh dianggap sebagai satu bahasa umum untuk rangkaian komputer. Ia membahagikan sistem komunikasi komputer kepada 7 lapisan dan setiap daripadanya bertindan antara satu sama lain, bermula dari Physical Layer sehingga Application Layer atau sebaliknya bergantung kepada situasi penghantar ataupun penerima.
BAGAIMANA 7 LAPISAN TERSEBUT BERFUNGSI?
Berikut adalah penerangan ringkas tentang setiap lapisan beserta beberapa contoh item atau protokol yang berfungsi di lapisan tersebut:
Application Layer
Lapisan ini adalah satu-satunya lapisan yang berinteraksi dengan data daripada pengguna. Perisian seperti web browser atau mail client akan bergantung kepada lapisan ini untuk memulakan komunikasi kepada destinasi. Ia menyokong pelbagai fungsi seperti pemindahan fail, e-mel, dan peleyaran web. Contoh protokol lapisan ini seperti Hypertext Transfer Protocol (HTTP), File Transfer Protocol (FTP), dan Simple Mail Transfer Protocol (SMTP).
Presentation Layer
Lapisan ini bertanggungjawab untuk menyediakan data dalam bentuk yang boleh difahami oleh Application Layer. Ini termasuklah membuat penterjemahan atau transformasi data, penyulitan (encryption), penyahsulitan (decryption) dan juga pemampatan data. Contoh protokol pada lapisan ini adalah Secure Sockets Layer (SSL), Transport Layer Security (TLS), JPEG, dan MPEG
Session Layer
Lapisan ini bertanggunjawab untuk menguruskan pembukaan dan penutupan komunikasi antara dua peranti dan tempoh masa antara keduanya disebut sebagai “sessions” atau sesi. Lapisan ini akan memastikan sesi kekal terbuka untuk tempoh masa yang cukup supaya dapat memindahkan semua data dan kemudian menutup sesi dengan segera untuk mengelakkan pembaziran sumber atau resources. Contoh item yang berfungsi di lapisan ini adalah seperti NetBIOS dan Remote Procedure Call (RPC).
Transport Layer
Lapisan ini bertanggungjawab menguruskan komunikasi hujung ke hujung antara dua peranti. Ia akan mengambil data daripada Session Layer dan kemudiannya memisahkannya kepada bentuk yang dikenali sebagai “segment” sebelum dihantar kepada Network Layer. Segment tersebut kemudiannya akan digabungkan semula apabila diterima oleh peranti destinasi sebelum diberikan kepada Session Layer untuk diproses.
Transport Layer juga bertanggungjawab untuk mengawal aliran supaya dapat memberikan kelajuan pemindahan data yang optimum untuk memastikan penghantar yang mempunyai kelajuan yang tinggi tidak akan membebankan penerima yang mempunyai kelajuan yang rendah.
Selain itu, Transport Layer juga mengawal ralat pada penerima dengan cara memastikan data yang diterima adalah lengkap dan akan meminta penghantar untuk menghantar semula sekiranya data yang diterima tidak lengkap. Contoh protokol yang beroperasi pada lapisan ini adalah TCP dan UDP.
Network Layer
Ia bertanggungjawab untuk mengendalikan pemindahan data antara rangkaian yang berbeza. Jika terdapat dua peranti yang berkomunikasi secara terus dalam rangkaian yang sama, lapisan ini tidak diperlukan.
Dalam lapisan ini, ia akan memisahkan segmen daripada Transport Layer kepada unit yang lebih kecil iaitu disebut sebagai “packet” daripada peranti yang menghantar, kemudian menggabungkan semula pada peranti yang menerima.
Network Layer juga menguruskan pilihan laluan fizikal untuk paket sampai ke destinasi. Ini disebut sebagai ‘Routing’ yang kebiasaanya terdapat dalam Router. Contoh protokol yang terdapat dalam lapisan ini adalah IP, ICMP, IGMP dan IPSec
Data Link Layer
Lapisan ini menguruskan komunikasi antara dua peranti yang bersambung terus dalam rangkaian yang sama. Data Link Layer mengambil paket daripada Network Layer dan memisahkannya ke dalam bentuk yang lebih kecil yang dikenali sebagai ‘frame’. Data Link Layer juga bertanggungjawab untuk mengawal aliran dan juga ralat dalam komunikasi antara rangkaian. Antara item yang berfungsi di lapisan ini adalah seperti Ethernet Switch dan Wi-Fi access points.
Physical Layer
Lapisan ini mewujudkan sambungan fizikal antara peranti dan bertanggungjawab melakukan pemindahan data dalam bentuk bit melalui rangkaian. Oleh itu, pada lapisan ini, data dibaca dalam bentuk ‘0’ dan ‘1’. Contoh item untuk lapisan ini adalah kabel ethernet, fibre optics dan juga Wi-Fi.
7 lapisan model OSI ini adalah sangat penting untuk difahami supaya kita dapat mengetahui bagaimana sesuatu perkara dalam rangkaian komputer tersebut beroperasi, pada lapisan yang mana dan dimana untuk membuat konfigurasi disamping memudahkan kita untuk mengenalpasti punca jika berlaku sebarang masalah.
Selain itu juga ia dapat membantu kita untuk melindungi infrastruktur rangkaian kita daripada serangan siber apabila kita memahami pada lapisan yang manakah serangan tersebut berlaku dan apakah tindakan yang perlu diambil.
Follow media sosial Inframesia di :
Facebook : https://www.facebook.com/inframesia
Instagram : https://www.instagram.com/infra.mesia/
Threads : https://www.threads.net/@infra.mesia
X : https://twitter.com/inframesia
LinkedIn : https://www.linkedin.com/company/inframesia
TikTok : https://www.tiktok.com/@inframesia
Youtube : https://www.youtube.com/@inframesia
Telegram : https://t.me/inframesia