Sebelum wujudnya teknologi Virtualization, setiap aplikasi dan juga sistem pengoperasian memerlukan pelayan fizikal yang khusus untuk pengunaannya. Ini telah membawa kepada beberapa masalah seperti:
Penggunaan yang tidak optimum disebabkan perkakasan tersebut hanya boleh dipasang satu sistem pengoperasian sahaja dengan aplikasi yang terhad.
Kos yang tinggi kerana semakin banyak aplikasi, semakin banyak perkakasan diperlukan dan ini juga akan menyebabkan pertambahan kos penyelenggaraan.
Kompleksiti akan semakin meningkat apabila jumlah pelayan fizikal semakin bertambah. Ini akan memerlukan tenaga dan kemahiran yang banyak.
Kurang fleksibel dan kebolehskalaan yang terhad apabila anda perlu melancarkan aplikasi baru kerana ia akan memerlukan perkakasan baru.
Kekurangan ini kemudiannya diatasi dengan kewujudan teknologi Virtualization. Virtualization merupakan satu proses mencipta sumber perkakasan dalam bentuk virtual seperti virtual CPU, virtual RAM dan virtual Disk. Ini membolehkan sumber perkakasan yang sama dikongsi untuk beberapa pelayan virtual yang mempunyai sistem pengoperasian yang berbeza seperi Windows dan Linux.
Teknologi Virtualization ini boleh digunakan dengan cara memasang perisian Hypervisor terus pada perkakasan atau memasang pada sistem pengoperasian.
APA ITU HYPERVISOR
Hypervisor merupakan perisian yang membolehkan anda mencipta dan menjalankan beberapa Virtual Machine (VM) dalam sebuah atau beberapa pelayan fizikal. Ia membolehkan sumber perkakasan seperti CPU, RAM dan DISK dikongsi kepada beberapa VM menggunakan teknologi Virtualization. Setiap VM pula akan mempunyai sistem pengoperasian dan aplikasi tersendiri.
Penggunaan Hypervisor telah memberikan beberapa kelebihan utama seperti :
A) Anda boleh mencipta pelayan baru atau memusnahkan pelayan sedia ada lebih pantas dengan hanya beberapa langkah sahaja disebabkan ianya virtual. Ini akan memudahkan penambahan dan pengurangan pelayan mengikut keperluan beban kerja.
B) Pengurusan pelayan akan menjadi lebih mudah dan cekap meskipun dalam jumlah yang besar kerana pelayan-pelayan ini boleh diuruskan melalui satu tempat berpusat.
C) Penggunaan sumber perkakasan dapat dioptimumkan dengan adanya VM. Anda boleh mencipta sebanyak mana VM yang anda perlukan selagimana ia dapat ditampung oleh kapasiti perkakasan. Ini membolehkan pelbagai aplikasi dijalankan diatas satu perkakasan yang sama dengan sistem pengoperasian yang berbeza.
D) Jumlah CPU, RAM dan DISK bagi setiap VM pula boleh dinaikkan atau dikurangkan dengan mudah. Ini memberikan fleksibiliti dan memudahkan pengurusan kapasiti pelayan virtual.
E) Kawalan keselamatan yang lebih baik kerana setiap VM beroperasi menggunakan sistem pengoperasian yang tersendiri. Jika satu VM bermasalah, ia tidak memberi kesan kepada VM yang lain walaupun kedua-duanya diatas perkakasan yang sama.
F) Penggunaan Hypervisor membantu menjimatkan ruang, tenaga dan juga keperluan penyelenggaraan perkakasan pelayan.
APAKAH JENIS-JENIS HYPERVISOR?
Terdapat dua jenis hypervisor iaitu Jenis 1 (Type 1) atau Jenis 2 (Type 2).
Jenis 1 : Bare Metal
Hypervisor jenis 1 beroperasi terus diatas perkakasan pelayan. Ia tidak memerlukan sistem pengoperasian dan dipasang terus diatas perkakasan. Kebiasaanya ia dipasang pada perkakasan pelayan yang mempunyai prestasi lebih tinggi daripada komputer biasa.
Kelebihan menggunakan Hypervisor jenis 1 ini adalah ia memberikan prestasi yang lebih baik kerana ia tidak memerlukan sistem pengoperasian. Namun begitu ia lebih mencabar untuk dipasang berbanding Hypervisor jenis 2 kerana ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang khusus.
Hypervisor jenis ini sesuai digunakan untuk persekitaran enterprise seperti pusat data atau juga pengkomputeran awan.
Contoh Hypervisor jenis 1 ini adalah Proxmox, VMware ESXI, XCP-NG dan Nutanix AHV.
Jenis 2 : Hosted
Hypervisor jenis 2 pula perlu beroperasi diatas sistem pengoperasian. Ia berfungsi sebagai aplikasi yang dipasang dan bergantung pada sistem pengoperasian. Kebiasaannya ia dipasang pada komputer jenis desktop ataupun laptop.
Kelebihan menggunakan Hypervisor jenis 2 ini adalah ia mudah untuk dipasang dan dikendalikan kerana ia tidak merlukan kemahiran teknikal yang terlalu tinggi. Namun begitu, prestasi penggunaannya lebih kurang berbanding Hypervisor jenis 1 kerana ia memerlukan sistem pengoperasian yang akan menggunakan sebahagian sumber perkakasan.
Hypervisor jenis ini lebih sesuai digunakan untuk persekitaran yang tidak kritikal seperti untuk pengujian atau pembangunan aplikasi.
Contoh Hypervisor jenis 2 ini adalah Oracle Virtualbox , Parallels Desktop, VMware Workstation dan juga Qemu.
HYPERVISOR JENIS MANA YANG PATUT DIGUNAKAN?
Pemilihan Hypervisor jenis mana yang patut digunakan adalah bergantung kepada keperluan penggunaan:
Hypervisor jenis 1 : Sesuai untuk penggunaan persekitaran enterprise, kritikal dan perlu dijalankan sepanjang masa.
Hypervisor jenis 2 : Sesuai untuk penggunaan individu dan untuk persekitaran pengujian, tidak kritikal dan digunakan bila perlu sahaja.
Jika anda penggemar homelab dan anda perlu membuat simulasi persekitaran enterprise, anda digalakkan menggunakan Hypervisor jenis 1 kerana ia lebih mudah untuk anda membuat pengujian yang hampir mirip dengan persekitaran sebenar. Anda boleh memasang perisian Proxmox kerana ianya percuma dan cukup untuk keperluan homelab.
Follow media sosial Inframesia di :
Facebook : https://www.facebook.com/inframesia
Instagram : https://www.instagram.com/infra.mesia/
Threads : https://www.threads.net/@infra.mesia
X : https://twitter.com/inframesia
LinkedIn : https://www.linkedin.com/company/inframesia
TikTok : https://www.tiktok.com/@inframesia
Youtube : https://www.youtube.com/@inframesia
Telegram : https://t.me/inframesia