EP17: Bagaimana Cloudflare Berfungsi?
Belajar bagaimana Cloudflare berfungsi dan juga servis yang ditawarkan.
Cloudflare merupakan satu produk yang popular dan juga harus dipelajari dalam bidang infrastruktur IT kerana ia menawarkan beberapa servis asas yang penting secara percuma.
Ia diasaskan pada tahun 2009, kemudian terus berkembang dan beroperasi secara global dengan menawarkan servis yang memfokuskan kepada keselamatan (security), prestasi (performance), dan keandalan (reliability) laman web atau perkhidmatan atas talian.
BAGAIMANA CLOUDFLARE BERFUNGSI?
Antara fungsi utama Cloudflare adalah sebagai DNS server dimana ia membantu menguruskan rekod DNS untuk domain dan juga membantu membuat DNS resolution bagi nama domain melalui penawaran IP DNS server 1.1.1.1 & 1.0.0.1.
Selain itu, Cloudflare juga menawarkan perkhidmatan reverse proxy dimana ia menjadi server yang berada di antara pelawat dan juga server anda atau juga disebut sebagai ‘origin server’.
Secara asasnya, pelawat melayari laman web anda dengan memasukkan nama domain di web browser. Kemudian nama domain tersebut akan diterjemah kepada IP server Cloudflare. IP tersebut akan membawa trafik kepada beberapa server reverse proxy Cloudflare, bergantung kepada lokasi pelawat tersebut.
Kebiasannya pelawat akan menggunakan server reverse proxy Cloudflare yang terdekat secara automatik bagi membolehkan pelawat mendapat latency yang rendah dan mengakses laman web dengan lebih cepat. Trafik daripada server reverse proxy tersebut akan dihantar kepada origin server, bergantung kepada mod konfigurasi SSL yang dipilih pada Cloudflare.
Jika anda memilih untuk tidak menggunakan SSL atau menggunakan mod Flexible, Cloudflare akan mengakses origin server menggunakan port 80 di server anda.
Jika anda memilih untuk menggunakan mod Full atau Full (Strict), Cloudflare akan mengakses origin server menggunakan port 443 di server anda.
Untuk menggunakan Cloudflare, anda perlu pastikan nama domain anda didaftarkan kepada Cloudflare dan menggunakan nameserver Cloudflare.
Melalui servis reverse proxy ini, Cloudflare dapat menawarkan pelbagai servis lain seperti :
1. Web Application Firewall (WAF)
WAF merupakan perisai yang melindungi laman web anda daripada serangan siber dengan membuat pemantauan dan penyaringan trafik ke laman web anda.
2. Pengurusan Bot
Perkhidmatan ini mengesan dan mengurus aktiviti bot yang melawat laman web anda, memastikan hanya bot yang baik seperti enjin carian yang dibenarkan, sementara bot jahat seperti spam atau penceroboh keselamatan laman web akan dihalang.
3. Peraturan Firewall
Anda boleh menetapkan peraturan khusus untuk mengawal akses ke laman web anda, seperti menyekat alamat IP tertentu atau hanya membenarkan akses dari negara tertentu.
4. Perlindungan DDoS
Perkhidmatan ini melindungi laman web anda daripada serangan DDoS (Distributed Denial of Service) yang bertujuan untuk melumpuhkan laman web anda dengan menghantar trafik dalam jumlah yang sangat banyak secara serentak.
5. Load Balancing
Load Balancing membantu mengedarkan trafik ke pelbagai pelayan untuk memastikan laman web anda sentiasa laju dan boleh diakses, walaupun salah satu pelayan mengalami masalah.
6. SSL
SSL (Secure Sockets Layer) membantu membuat penyulitan data yang dihantar antara web browser dan server Cloudflare atau juga ke server anda dan memastikan maklumat seperti kata laluan dan data peribadi selamat daripada dicuri.
7. Image Optimization
Perkhidmatan ini mengoptimumkan imej di laman web anda supaya dimuat lebih cepat tanpa menjejaskan kualiti serta memberikan pertasi yang lebih baik kepada pelawat.
8. Content Delivery Network (CDN)
CDN membantu mengedarkan kandungan laman web anda ke pelbagai pelayan di seluruh dunia, memastikan pelawat dapat mengakses laman web anda dengan cepat dari mana-mana lokasi.
9. Analytics & Insight
Cloudflare menyediakan analisis dan maklumat mengenai trafik laman web anda, seperti jumlah pelawat, halaman yang popular, dan potensi ancaman siber.
10. Web Caching
Perkhidmatan ini menyimpan salinan laman web anda di pelbagai lokasi, membolehkan pelawat memuat laman web anda dengan lebih cepat dan mengurangkan beban kepada server anda.
Cloudflare juga menawarkan perkhidmatan lain seperti Zero Trust, Browser Isolation, Gateway, Email Security, Magit Transit, Magic WAN, Magic Firewall, Spectrum, Worker, Stream, AI Gateway dan Vectorize.
Follow media sosial Inframesia di :
Facebook : https://www.facebook.com/inframesia
Instagram : https://www.instagram.com/infra.mesia/
Threads : https://www.threads.net/@infra.mesia
X : https://twitter.com/inframesia
LinkedIn : https://www.linkedin.com/company/inframesia
TikTok : https://www.tiktok.com/@inframesia
Youtube : https://www.youtube.com/@inframesia
Telegram : https://t.me/inframesia