EP20: Datacenter, Availability Zone dan Region Dalam Pengkomputeran Awan
Belajar apakah perbezaan antara Datacenter, Availability Zone dan Region Dalam Pengkomputeran Awan.
Antara topik yang penting untuk difahami berkenaan dengan pengkomputeran awan adalah berkenaan Infrastruktur Global ataupun Global Infrastructure. Ia merujuk kepada bagaimana infrastruktur pengkomputeran awan direka dan apakah strategi yang digunakan bagi membolehkan ianya andal (reliable), boleh diskalakan (scalable) dan juga menawarkan sumber pengkomputeran yang selamat merentasi pelbagai lokasi geografi.
Infrastruktur global bagi pengkomputeran awan terdiri daripada datacenter, availability zone dan juga region.
DATACENTER
Secara asasnya datacenter atau pusat data merupakan bangunan fizikal yang menempatkan ratusan ataupun ribuan perkakasan infrastruktur IT. Ini termasuklah perkakasan pengkomputeran seperti server, perkakasan rangkaian seperti router, switch, firewall, load balancer dan juga perkakasan storan seperti NAS dan SAN.
Datacenter juga dilengkapi dengan kuasa elektrik, sambungan internet dan juga kawalan keselamatan fizikal seperti pengawal keselamatan, CCTV, sistem pengecaman biometrik dan sebagainya.
AVAILABILITY ZONE (AZ)
Availability zone terdiri daripada satu atau lebih datacenter. Ia bertujuan untuk membuat pengasingan beberapa datacenter dengan data center yang lain bagi mengawal impak kegagalan infrastruktur sekiranya berlaku sebarang bencana seperti kerosakan perkakasan, bencana alam atau terputus sambungan internet. Ini juga disebut sebagai fault isolation.
Kebiasannya, setiap AZ akan diberi nama bagi memudahkan identifikasi seperti AZ A, B, C ataupun AZ 1, 2 & 3. Contoh Availability Zone bagi Singapore dalam AWS adalah ap-southeast-1a, ap-southeast-1b, dan ap-southeast-1c
REGION
Region pula merujuk kawasan geografi yang kebiasaannya mengandungi 3 Availability Zone (AZ). Ianya terdapat di serata dunia dan bertujuan untuk memberikan anda fungsi data localization, disaster recovery di peringkat global dan juga prestasi optimum dengan cara melancarkan server atau aplikasi dalam Region yang lebih dekat dengan pengguna.
Jarak antara setiap AZ dalam Region yang sama pula berbeza-beza mengikut pembekal pengkomputeran awan. Sebagai contoh jarak antara AZ bagi AWS Cloud adalah dalam lingkungan 100KM.
Setiap AZ pula disambungkan antara satu sama lain dengan infrastruktur rangkaian yang bersifat low latency dan juga high bandwidth. Ini bagi membolehkan proses Data Replication dan juga High Availability dapat dicapai merentasi pelbagai AZ dalam Region yang sama.
Contoh Region bagi pembekal pengkomputeran awan AWS adalah Asia Pacific (Singapore), Asia Pacific (Sydney), US East (Virginia) dan banyak lagi.
APAKAH PERKAITAN ANTARA REGION, AVAILABILITY ZONE DAN DATACENTER?
Secara asasnya dalam setiap pembekal pengkomputeran awan, terdapat banyak Region di serata dunia dan setiap Region mempunyai beberapa Availability Zone (AZ) dan dalam setiap Availability Zone pula terdapat satu atau lebih Datacenter.
Sebelum anda ingin melancarkan server, anda perlu pilih dahulu Region mana yang anda ingin gunakan. Ini akan menetukan jumlah network latency daripada pengguna kepada server anda. Sekiranya anda berada di Malaysia, Region yang terdekat yang anda patut gunakan buat masa sekarang bagi mencapai low latency adalah Singapore.
Kemudian, setelah anda pilih Region Singapore, anda perlu mencipta VPC ataupun Virtual Private Cloud yang merupakan rangkaian asas yang perlu ada dalam pengkomputeran awan. Setelah itu, anda perlu cipta subnet bagi setiap AZ dalam Region tersebut sebelum anda boleh melancarkan server dalam AZ tersebut.
Anda boleh baca lebih lanjut berkenaan subnet di artikel sebelum ini :
Dengan adanya pelbagai AZ dalam satu-satu Region, anda boleh mencapai High Availability untuk aplikasi anda apabila anda lancarkan server dalam AZ tersebut. Jika salah satu daripada AZ tersebut bermasalah seperti menghadapi bencana atau sambungan internet terputus, aplikasi anda masih boleh berfungsi dengan adanya server di AZ yang lain.
Anda juga mungkin memerlukan servis tambahan bagi mencapai High Availability seperti Load Balancer bagi membuat pengedaran trafik ke pelbagai server dalam AZ yang berbeza dalam satu-satu masa dan juga bagi membolehkan proses failover dilakukan.
Dengan memahami fungsi Region dan Availability Zone, anda boleh merancang infrastruktur bagi sistem atau aplikasi anda bagi memastikan ianya mencapai High Availability, mempunyai pelan Disaster Recovery, dan juga memberikan prestasi yang optimum untuk pengguna sistem atau aplikasi anda.