EP23: Hard Link dan Soft Link Dalam Linux
Belajar apa itu Hard Link dan Soft Link dan bagaimana ia berfungsi.
Dalam Linux, terdapat satu fungsi pautan file atau direktori yang disebut sebagai link. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu Hard Link dan Soft Link. Kedua-dua jenis link atau pautan ini berkait rapat dengan inode.
Inode ataupun index node merupakan sejenis struktur data dalam linux yang menyimpan maklumat atau metadata berkenaan fail atau direktori seperti jenis fail, akses kebenaran fail atau file permission, pemilikan fail atau file ownership, saiz fail, timestamp dan jumlah hard link.
APA ITU HARD LINK?
Hard Link merujuk kepada pautan atau rujukan terus kepada data dalam hard disk. Ia boleh dicipta menggunakan arahan : ln fail_asal nama_hard_link. Apabila hard link dicipta, ia akan berkongsi nombor inode yang sama dengan fail yang asal kerana pautan tersebut merujuk terus kepada data yang sama dengan fail asal dalam hard disk.
Sekiranya fail asal dipadam, hard link akan tetap berfungsi disebabkan ia merujuk terus kepada data dalam hard disk. Data dalam hard disk pula hanya akan terpadam apabila semua hard link yang dipautkan kepadanya dipadam.
Namun begitu hard link mempunyai keterbatasan yang tersendiri iaitu anda tidak boleh pautkan hard link kepada direktori. Anda juga tidak boleh pautkan hard link kepada fail yang berada dalam filesystem atau partition lain.
Hard link digunakan untuk mencipta beberapa rujukan kepada data yang sama dalam hard disk dan ia akan memastikan data sentiasa ada sekiranya fail asal atau salah satu hard link dipadam.
APA ITU SOFT LINK?
Soft Link atau juga disebut sebagai symbolic link pula merujuk kepada pautan atau rujukan yang dibuat kepada fail asal menggunakan path dan tidak terus kepada data dalam hard disk. Ia boleh dicipta menggunakan arahan : ln -s fail_asal nama_hard_link.
Oleh kerana soft link tidak membuat rujukan terus kepada data dalam hard disk, setiap soft link akan mempunyai nombor inode yang tersendiri. Berbeza dengan hard link, sekiranya fail asal dipadam, soft link akan rosak kerana ia dipautkan kepada fail sudah yang tidak wujud.
Soft link membolehkan anda membuat pautan ataupun shortcut kepada fail dan direktori. ia juga membenarkan anda membuat pautan kepada fail dalam filesystem atau partition yang lain.
Pemilihan penggunaan hard link dan soft link bergantung kepada keperluan yang spesifik seperti data persistence, struktur filesystem dan juga fleksibiliti dalam pengurusan fail.
Pastikan anda subscribe blog ini untuk membolehkan anda menerima artikel terkini terus ke inbox email anda.