EP25: Jenis-Jenis Storan dalam Pengkomputeran Awan
Belajar apa itu storan dalam pengkomputeran awan dan jenis-jenisnya.
Storan dalam pengkomputeran awan merupakan satu servis moden untuk menyimpan data di internet. Berbeza dengan storan fizikal seperti cakera keras komputer atau pemacu kilat USB, storan awan membolehkan kita menyimpan data di pelayan yang dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan awan.
Kelebihan utama storan awan termasuk:
Akses di mana-mana: Kita boleh mencapai data dari mana-mana sahaja yang ada sambungan internet.
Skala yang fleksibel: Mudah untuk menambah atau mengurangkan ruang storan mengikut keperluan.
Keselamatan: Penyedia awan biasanya mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik berbanding storan peribadi.
Kos efektif: Kita hanya membayar untuk ruang yang digunakan.
Ketahanan: Data disalin ke beberapa lokasi, mengurangkan risiko kehilangan data.
Dalam dunia pengkomputeran awan, terdapat beberapa jenis storan yang utama iaitu File Storage, Block Storage, dan Object Storage.
JENIS-JENIS STORAN
File Storage (Storan Fail)
Filestorage ialah cara menyimpan data yang paling biasa kita gunakan. Ia menyusun fail-fail dalam folder, sama seperti yang kita lihat di komputer peribadi. Dalam pengkomputeran awan, ia digunakan untuk menyimpan fail yang perlu diakses oleh banyak pelayan pada masa yang sama.
Contoh file storage adalah AWS EFS, Azure Files dan GCP Filestore.
Block Storage (Storan Blok)
Block storage membahagikan data kepada blok-blok yang sama saiz. Setiap blok mempunyai alamat unik, memudahkan sistem untuk mencari dan mengubah data dengan cepat. Ia sesuai untuk aplikasi yang memerlukan prestasi tinggi seperti pangkalan data atau virtual machine.
Contoh block storage adalah AWS EBS, Azure Managed Disk dan GCP Persistent Disk.
Object Storage (Storan Objek)
Object storage menyimpan data sebagai objek. Setiap objek mengandungi data, metadata (maklumat tentang data), dan pengenal unik (ID). Ia sesuai untuk menyimpan jumlah data yang besar dan tidak berstruktur, seperti gambar, video, atau fail sandaran.
Contoh block storage adalah AWS S3, Azure Blob Storage dan Google Cloud Storage
APAKAH PERBEZAAN ANTARA JENIS-JENIS STORAN TERSEBUT?
Struktur:
Filestorage menggunakan struktur hierarki (folder dalam folder).
Block storage menggunakan blok data yang sama saiz.
Object storage menggunakan objek bebas dengan metadata.
Kegunaan:
Filestorage sesuai untuk penyimpanan fail biasa dan perkongsian.
Block storage bagus untuk aplikasi yang memerlukan prestasi tinggi.
Object storage terbaik untuk data besar dan tidak berstruktur.
Skala:
Filestorage agak terhad dalam penskalaan.
Block storage boleh diskala dengan baik untuk tambah prestasi.
Object storage paling mudah untuk diskala ke saiz yang sangat besar.
Kos:
Filestorage biasanya lebih mahal untuk saiz yang besar.
Block storage boleh menjadi mahal kerana prestasinya yang tinggi.
Object storage selalunya paling murah untuk penyimpanan data besar.
Secara ringkasnya, pilihan storan bergantung kepada keperluan projek anda. Filestorage untuk fail biasa, block storage untuk prestasi tinggi, dan object storage untuk data besar dan tidak berstruktur.
Subscribe blog ini untuk membolehkan anda menerima artikel-artikel terkini terus ke inbox email anda.