NAT merupakan akronim bagi Network Address Translation atau Penterjemahan Alamat Rangkaian.
Ia merupakan suatu teknologi dalam rangkaian untuk menukarkan satu alamat IP kepada alamat IP yang lain dan kebiasaannya berlaku dalam router.
Bagaimanakah NAT berfungsi?
Apabila peranti dalam rangkaian peribadi atau private network menghantar data ke destinasi seperti web server di internet, NAT akan menukarkan Private IP peranti tersebut kepada Public IP beserta dengan nombor port. Maklumat ini akan disimpan dalam NAT Table untuk memudahkan rujukan semula.
Apabila respon data diterima dari web server, NAT akan merujuk semula kepada rekod yang telah disimpan dalam NAT Table tadi untuk mengetahui ke mana ia patut hantar data tersebut.
Sebagai contoh, sebuah komputer yang beralamat IP 192.168.0.100 ingin mengakses laman web google.com. Ia akan terus kepada router yang bersambung dengannya dengan menggunakan port secara rawak yang kebiasaanya dari 1024 hingga 65535.
Andaikan port yang digunakan oleh komputer tersebut adalah 8992. Router tersebut kemudiannya akan memetakan private IP dan port komputer tersebut iaitu 192.168.0.100:8992 kepada public IP dan port router. Sebagai contoh 192.168.0.100:8992 => 210.187.223.11:3333. Maklumat ini akan disimpan dalam NAT Table
Public IP dan port router tersebut akan digunakan untuk mengakses alamat IP dan port server google.com. Sebagai contoh, 210.187.223.11:3333 meminta kandungan laman web daripada ip dan port server google.com iaitu 142.251.46.174:443
Server google.com akan membalas permintaan tersebut kembali kepada public ip dan port router. Router akan melihat kembali NAT Table apakah private IP dan port bagi 210.187.223.11:3333 dan ia mendapati 192.168.0.100:8992.
Data tersebut terus dihantar kembali kepada komputer dengan menggunakan IP 192.168.0.100 dan port 8992.
Proses ini berlaku secara automatik. Kebiasaannya ia berlaku kepada semua peranti yang bersambung dengan router dan ingin berkomunikasi dengan public IP seperti server di internet. Proses NAT ni juga boleh berlaku antara satu segmen private ip kepada segmen private ip yang lain mengikut keperluan tertentu.
Mengapa NAT diperlukan?
NAT mempunyai beberapa kepentingan dalam pengurusan rangkaian:
Pertama, ia membantu dalam pengoptimuman penggunaan alamat IP. NAT membolehkan satu public IP dikongsi oleh pelbagai peranti dalam rangkaian peribadi untuk mengakses internet. Oleh itu ia dapat menjimatkan penggunaan public IP.
Kedua, ia meningkatkan aspek keselamatan rangkaian. NAT bertindak sebagai lapisan keselamatan tambahan yang menghalang akses terus dari luar ke dalam rangkaian peribadi.
Ketiga, NAT memudahkan pengurusan rangkaian. Ia membolehkan pengubahsuaian alamat dalaman tanpa menjejaskan konfigurasi alamat luaran.
NAT adalah teknologi yang sangat penting dalam rangkaian terutama apabila melibatkan sambungan peranti dalam intranet kepada internet. Nantikan artikel akan datang yang akan menjelaskan jenis-jenis NAT.
Subscribe blog ini untuk membolehkan anda menerima artikel-artikel terkini terus ke inbox email anda.