EP32: Caching Dalam Infrastruktur IT
Apa itu caching dan bagaimana ia berfungsi dalam infrastruktur IT.
Dalam dunia teknologi informasi sekarang, kepantasan dalam mengakses data menjadi perkara yang sangat penting. Salah satu teknik yang digunakan untuk meningkatkan prestasi sistem untuk mengakses data adalah dengan menggunakan teknik “caching”.
Apa itu Caching?
Caching merupakan satu teknik penting dalam infrastruktur IT yang membantu meningkatkan prestasi dan kecekapan sistem dengan menyimpan data yang kerap digunakan di lokasi yang lebih mudah diakses.
Sebagai contoh, anda meletakkan peralatan dapur yang sering digunakan seperti sudu, garfu, pisau dalam rak barangan dapur diatas meja berbanding meletakkannya dalam almari atau stor walaupun ruang penyimpanannya lebih besar.
Ini akan memudahkan kerja dan mempercepatkan masa setiap kali anda ingin menggunakan peralatan dapur tersebut.
Jenis-jenis Cache dalam Infrastruktur IT
1. DNS Cache (DNS cache pada komputer) : Ia menyimpan rekod DNS yang telah diselesaikan(resolved) pada peringkat komputer bagi mempercepatkan proses resolusi nama domain kepada alamat IP.
2. Browser Cache : Ia menyimpan fail statik seperti imej, CSS, dan JavaScript di pelayar web pengguna untuk mempercepatkan masa muat turun laman web yang kerap dilawati atau pada sesi akses seterusnya.
3. DNS Cache (DNS cache pada router) : Ia menyimpan maklumat DNS untuk semua peranti dalam rangkaian yang sama pada peringkat router bagi mengurangkan permintaan IP untuk DNS yang sama berulang-kali.
4. CDN Cache : Ia menyimpan kandungan laman web di dalam pelayan di pelbagai lokasi yang berbeza bagi mempercepatkan proses penghantaran kandungan laman web kepada pengguna dengan mengurangkan jarak fizikal antara pengguna dan pelayan.
5. SSL Session Cache : Ia menyimpan maklumat sesi SSL/TLS bagi mempercepatkan sambungan selamat dengan mengelakkan proses handshake berulang-kali.
6. Sticky Session Cache : Ia menyimpan maklumat sesi pengguna pada load balancer untuk memastikan pengguna dihantar pada dengan server yang sama setiap kali laman web di akses.
7. HTTP Cache : Ia menyimpan kandungan HTTP yang diminta berulang-kali bagi mengurangkan beban pada pelayan.
8. Application Cache : Ia menyimpan komponen dan data aplikasi yang kerap digunakan bagi meningkatkan prestasi aplikasi dengan mengurangkan masa capaian.
9. Object Cache : Ia menyimpan objek yang telah dibina dalam memori dan mengelakkan pembinaan semula objek yang kerap digunakan. Contohnya penggunaan pada sistem e-dagang & sistem tempahan tiket.
10. Database Cache : Ia menyimpan hasil query daripada pangkalan data yang kerap digunakan bagi mempercepatkan capaian data dan mengurangkan beban pada pangkalan data.
Penggunaan pelbagai jenis teknik caching ini secara strategik akan dapat mengurangkan masa respons sistem, mengoptimumkan penggunaan sumber, menambah baik pengalaman pengguna, mengurangkan beban pada server dan pangkalan data, dan juga mengoptimumkan kos infrastruktur.
SERTAI KOMUNITI INFRAMESIA
Sertai Komuniti Inframesia untuk berbual, bertanyakan soalan, berkongsi ilmu, pandangan dan mendapatkan bantuan berkenaan IT daripada penggiat IT Malaysia.
Facebook : https://www.facebook.com/groups/komunitiinfrastrukturit
Discord : https://discord.gg/7A2ktCEm
SUBSCRIBE NEWSLETTER INFRAMESIA
Belajar infrastruktur IT dengan penerangan dan infografik yang mudah difahami. Subscribe blog ini untuk membolehkan anda menerima artikel-artikel terkini terus ke email anda dan upgrade untuk dapatkan akses kepada artikel premium.