EP7: Cloud Deployment Models
Pelajari jenis-jenis Cloud Deployment Models dan bagaimana untuk memilihnya.
Terdapat pelbagai jenama dan jenis pengkomputeran awan yang ada dipasaran. Manakah yang sesuai dengan keperluan kita? Apakah kelebihan dan kekurangan mereka?
Sebelum itu, kita pernah membincangkan salah satu asas kepada pengkomputeran awan iaitu Cloud Service Models. Anda boleh baca berkenaan Cloud Service Model pada artikel berikut :
Untuk artikel kali ini, kita akan melihat pula satu lagi perkara asas yang juga penting dalam konsep pengkomputeran awan iaitu Cloud Deployment Models.
APA ITU CLOUD DEPLOYMENT MODELS?
Cloud Deployment Models merujuk kepada jenis pengkomputeran awan. Setiap model mempunyai ciri-ciri, kelebihan dan kekurangan yang tersendiri, bergantung kepada keperluan penggunaan.
APA MODEL PENGKOMPUTERAN AWAN YANG ADA?
Terdapat 5 jenis Cloud Deployment Models iaitu:
PUBLIC CLOUD
Public cloud merupakan model pengkomputeran awan yang banyak digunakan oleh pelbagai organisasi pada masa kini. Public cloud merujuk kepada perkhidmatan perkomputeran awan yang dibekalkan oleh Cloud Service Provider (CSP) melalui internet dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk melanggan dan menggunakannya.
Infrastruktur perkhidmatan public cloud ini diuruskan dan dikawal selia oleh CSP di pusat data mereka sendiri. Infrastruktur tersebut juga dikongsi oleh pelbagai pengguna dan dalam masa yang sama mereka memastikan data bagi setiap pengguna diasingkan.
Antara kelebihan utama menggunakan public cloud ini adalah anda tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk mula menggunakan pengkomputeran awan kerana public cloud membenarkan anda membayar pada kadar penggunaan sahaja atau juga disebut sebagai pay-as-you-go. Dalam erti kata yang lain, anda hanya perlu mengambil berat tentang Operational Expenses (OpEx) - perbelanjaan operasi, berbanding Capital Expenses (CapEx) - perbelanjaan modal.
Antara contoh public cloud ataupun CSP yang terkenal adalah Amazon Web Services (AWS), Microsoft Azure dan juga Google Cloud Platform (GCP). Selain itu, terdapat juga pembekal public cloud yang menawarkan perkhidmatan pengkomputeran awan dengan harga yang lebih murah dan tidak terlalu kompleks seperti Digital Ocean, Linode, Vultr dan Upcloud.PRIVATE CLOUD
Private cloud merupakan model pengkomputeran yang kebiasaannya digunakan oleh organisasi yang memerlukan pemilikan infrastruktur dan data sepenuhnya. Ianya tidak dibuka kepada umum dan hanya digunakan oleh organisasi yang memilikinya.
Infrastruktur perkhidmatan private cloud ini dibina dan diuruskan sendiri oleh organisasi yang menggunakannya sama ada di premis sendiri (on-premise) ataupun di pusat data. Oleh itu, pemilik private cloud ini perlu mempunyai pengetahuan dan kepakaran untuk membina, menguruskan dan mengawal selia jika terdapat sebarang masalah sepanjang ia beroperasi.
Dari sudut kos, pemilik private cloud perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menyediakan infrastruktur bergantung kepada keperluan penggunaan. Antara perbelanjaan yang terlibat adalah seperti Co-location atau sewaan tempat infrastruktur di pusat data, perkakasan, perisian, rangkaian, perkhidmatan professional untuk mengkonfigurasi dan menyelenggara infrastruktur tersebut. Dalam erti kata yang lain, pemilik private cloud ini perlu menyediakan Capital Expenses (CapEx) dan juga Operational Expenses (Opex).
Antara contoh teknologi yang digunakan untuk membina private cloud ini adalah seperti VMware ESXi, Hyper-V, Proxmox, Openstack, Unraid dan juga XCP-ng.HYBRID CLOUD
Hybrid cloud pula merujuk kepada penggunaan gabungan bersama, public cloud dan juga private cloud. Kebiasaannya, organisasi yang terikat kepada pematuhan undang-undang yang memerlukan data pengguna tidak dibawa keluar daripada sesebuah negara, akan menggunakan model hybrid cloud ini.
Sebagai contoh, undang-undang privasi dan keselamatan Eropah, GDPR menetapkan supaya maklumat peribadi penduduk negara Eropah perlu kekal berada dalam negara Eropah dan tidak boleh di simpan di negara lain. Oleh demikian,sesebuah organisasi boleh menggunakan hybrid cloud untuk mendapatkan manfaat public cloud dan private cloud.
Contoh penggunaan hybrid cloud adalah sesebuah organisasi boleh menjalankan web server dan application server di AWS manakala database server dijalankan di private cloud. Ini membolehkan sesuatu aplikasi dapat memanfaatkan teknologi public cloud seperti DNS, CDN, WAF dan load balancing di samping menjimatkan kos, seterusnya dapat menjaga pemilikan data pengguna dengan menyimpannya dalam server sendiri di private cloud.
Antara organisasi yang menggunakan hybrid cloud ini adalah seperti institusi kewangan, agensi kerajaan atau mana-mana syarikat yang terikat dengan pematuhan undang-undang pemilikan dan penyimpanan data.MULTI-CLOUD
Multi-cloud merujuk kepada penggunaan pelbagai public cloud untuk sesebuah system architecture. Pendekatan ini membolehkan sesebuah organisasi tidak terikat dengan sesuatu vendor sahaja, meningkatkan prestasi sistem disamping menjimatkan kos, serta mengguna pakai teknologi yang terbaik untuk sesebuah sistem daripada pelbagai pembekal cloud yang ada.
Sebagai contoh, sesuatu aplikasi ataupun sistem dibina di atas infrastruktur public cloud yang bercampur seperti AWS dan Azure. Server aplikasi boleh dibina menggunakan Amazon EC2 dalam AWS. Kemudian fungsi Identity Access Management dan SSO untuk aplikasi tersebut pula dibina dengan mengunakan Microsoft Entra ID yang dibekalkan oleh Microsoft Azure.COMMUNITY CLOUD
Community cloud merujuk kepada model perkongsian sesuatu infrastruktur pengkomputeran awan oleh beberapa organisasi disebabkan oleh pematuhan kepada undang-undang atau keperluan keselamatan yang telah ditetapkan. Kebiasaannya, organisasi yang menggunakannya mempunyai objektif yang hampir sama.
Community cloud boleh diuruskan oleh sesebuah organisasi dalaman ataupun pihak ketiga. Ia boleh di bina di premis sendiri ataupun di pusat data tanpa berkongsi dengan pengguna awam ataupun pihak yang tidak berkaitan dengan industri atau organisasi yang terlibat.
Contoh community cloud adalah pengkomputeran awan kerajaan yang digunakan oleh agensi kerajaan sahaja dan pengkomputeran awan institusi kesihatan yang digunakan oleh beberapa organisasi dalam industri kesihatan sahaja.
Cloud deployment model yang utama dan harus diketahui adalah public cloud, private cloud dan juga hybrid cloud. Setiap Cloud Deployment Model menawarkan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Oleh itu, pemilihan untuk menggunakan mana-mana model bergantung kepada penggunaan, fungsi, keperluan, lokasi, kos, keselamatan, dan juga pemilikan.
Cloud Deployment model yang mana anda pernah guna?